Monday 20 June 2011

Diet Seimbang Perlu Diamal Sejak Kanak-Kanak

APABILA disebut mengenai makanan, apa yang terlintas di fikiran kita ialah rakyat Malaysia tidak mengalami masalah kebuluran. Namun, jika terlebih makan, ia sebenarnya mengundang bahaya dan boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada pelbagai masalah termasuk kegemukan.

Apabila berat badan terus bertambah dan mengalami masalah kegemukan, seseorang itu bakal terdedah kepada sakit jantung, kencing manis, paras kolesterol yang tinggi dan masalah perut buncit.

Justeru, kita digalakkan memahami diet seimbang kerana ini penting untuk menjamin kesihatan yang baik sepanjang hayat.

Pakar diet sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, Farah Diba Khan, berkata penyediaan makanan yang betul dan mendidik tabiat makan yang sempurna bermula sejak kecil lagi dan ibu bapa bertanggungjawab ke arah pembentukan itu.

Beliau berkata, piramid diet sihat adalah panduan membantu ibu bapa memilih makanan yang hendak dimakan setiap hari kerana ia merangkumi empat kumpulan makanan dan tip piramid.

Katanya, makanan diambil setiap hari perlu dimakan dengan banyak daripada tapak piramid dan sedikit daripada tip piramid.

Beliau berkata, setiap kumpulan makanan memberikan sumbangan nutrien atau zat yang penting dan setiap nutrien mempunyai fungsi tertentu dalam badan.

“Makanan daripada semua kumpulan makanan bekerjasama membekalkan nutrien untuk kesihatan dan pertumbuhan. Tiada satu kumpulan makanan yang lebih penting daripada yang lain untuk kesihatan kerana kita memerlukannya,” katanya.

Makanan yang menyediakan nutrien diperlukan kanak-kanak untuk membina tubuh yang kuat turut membekalkan tenaga diperlukan untuk membesar secara normal.

Justeru, tidak ada satu makanan pun yang membekalkan semua nutrien diperlukan oleh kanak-kanak untuk pembesaran fizikal dan mental secara optimum.

Setiap makanan boleh dipadankan ke dalam diet yang pelbagai, sederhana, seimbang dan sihat. Sehubungan itu, tidak ada makanan baik atau tidak baik, khususnya bagi kanak-kanak kerana keseluruhan diet bagi sesuatu hari perlu diambil kira.

Justeru, berikan pelbagai makanan daripada setiap kumpulan makanan berkenaan pada setiap hari bagi membekalkan nutrien diperlukan oleh anak anda.

Panduan makanan sihat dan kegiatan fizikal bagi kanak-kanak.
  • Galakkan anak anda supaya lebih aktif dan bergiat dalam sukan.
  • Berikan pelbagai jenis makanan berkhasiat setiap hari.
  • Galakkan mereka menyertai kegiatan fizikal.
  • Berikan makanan sesuai mengikut usia anak anda.
  • Elakkan makan berlebihan.
  • Jangan berikan makanan sebagai sogokan atau ganjaran.
  • Didik mereka supaya mengambil snek dengan betul.
Beberapa perkara perlu diambil kira termasuk menjadikan amalan mengambil satu hidangan sayuran-sayuran atau buah-buahan, makan seluruh buah, termasuk kulitnya sekali dan masak buah-buahan dan sayur-sayuran terlalu lama.

Pilihan terbaik bagi diet sihat.

  • Daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit dan produk susu rendah lemak.
  • Kurangkan pengambilan daging barbeku dan diawet.
  • Selang-selikan makanan daging dengan produk kacang
Selain itu, Farah Diba berkata, apabila usia seseorang meningkat tua, mereka selalunya menjadi kurang selera untuk makan, apatah lagi untuk mengambil makanan berkhasiat dan mengamalkan diet seimbang setiap hari.

Beliau berkata, makanan berkhasiat sebenarnya amat penting dalam kehidupan warga tua dan mereka tidak seharusnya memandang ringan perkara seumpama itu.

Katanya, tekanan perasaan, kemurungan dan keseorangan sering menjadi faktor menyebabkan warga tua kurang selera makan biarpun suatu ketika dulu mereka berkemungkinan berselera menikmati makanan.

“Makanan berkhasiat dan diet seimbang diperlukan oleh setiap individu sejak lahir sehingga dimamah usia. Kepentingan untuk mengambil makanan berkhasiat tidak boleh dipandang mudah oleh warga tua, malah mereka perlu lebih bijak mengamalkan diet seimbang,” katanya.

Beliau berkata, apabila seseorang semakin berusia, mereka akan mengalami kekurangan sesetengah mineral atau garam galian seperti sodium dan kalsium di dalam tubuh.

Justeru, katanya, mengamalkan diet seimbang dan makanan berzat pada setiap hari dapat memelihara kesihatan warga tua.

Beliau berkata, pengambilan makanan berasas protein, karbohidrat, serat, kalsium dan minum lebih banyak cecair dapat membantu warga tua memiliki tubuh yang sihat dan bertenaga.

Protein:

Pengambilan makanan berasas protein amat penting untuk keperluan tubuh warga tua kerana ia membaik pulih tisu badan dan meningkatkan antibodi melawan jangkitan atau penyakit.

Antara makanan berasas protein ialah daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit atau lemak, ikan, telur dan kekacang.

Karbohidrat:

Karbohidrat adalah sumber utama memberi tenaga kepada tubuh manusia dan ia seharusnya diambil setiap hari. Antara makanan berasas karbohidrat yang disyorkan kepada warga tua ialah nasi, mi, buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, keledek, ubi kentang dan pisang.

Vitamin dan mineral:

Mengekalkan kesihatan tubuh dalam jangka panjang dan memastikan badan dapat berfungsi dengan baik. Sebaik-baiknya warga tua mengambil makanan yang mengandungi vitamin A untuk memelihara kesihatan mata.

Antara sumber makanan yang mengandungi vitamin A ialah buah oren, lobak merah dan pelbagai sayur-sayuran hijau. Selain itu, pengambilan zink yang boleh diperoleh daripada daging merah tanpa lemak mampu membantu proses penyembuhan.

Serat:

Membantu mengelakkan sembelit dan sekali gus mengurangkan risiko lebihan kolesterol di dalam darah. Ia wajar diambil setiap hari kerana mudah diperoleh.

Pastikan anda mengambil lebih banyak buah-buahan segar, sayur-sayuran hijau dan bijirin dalam menu harian.

Kalsium:

Pengambilan kalsium amat penting untuk membantu mengatasi masalah kereputan tulang atau osteoporosis. Sumber makanan kaya kalsium ialah produk tenusu, ikan sardin, ikan bilis (sebaik-baiknya dibuang kepala kerana ia kaya dengan kolesterol), kurma, kismis dan susu skim atau rendah lemak.

Cecair:

Sebaik-baiknya minum enam hingga lapan gelas air sehari untuk membantu buah pinggang menyingkirkan lebihan toksik di dalam badan.

Warga tua hendaklah mengelakkan mengambil makanan berikut:
  • Makanan bergula. Sebaik-baiknya had atau kurangkan pengambilan makanan dan minuman mengandungi kadar gula yang tinggi.
  • Kurangkan mengambil kek dan biskut yang manis.
  • Pilih buah-buahan segar sebagai pencuci mulut.
  • Elakkan menambah garam di dalam hidangan anda dan sebaik-baiknya cuba ambil rempah ratus atau herba.
  • Kurangkan mengambil makanan diawet, di dalam tin atau makanan segera.
Warga tua juga perlu mengelakkan makanan kaya lemak dan kolesterol tinggi. Sebaik-baiknya, pilih makanan seperti daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit atau lemak, ambil makanan rendah lemak dan elak makanan berasas santan.

Warga tua dinasihatkan mengamalkan senaman ringan dengan berjalan pantas pada setiap hari, tapi elakkan melakukannya pada jam 11 pagi dan 4 petang.

Perkataan tiada masa sering dijadikan alasan tetapi cuba bahagikan masa anda dengan bijaksana untuk mengamalkan kegiatan sihat itu.

Sumber Dari : Berita Harian Online

by www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment