Friday 1 April 2011

Kurikulum Pendidikan Pemakanan di Prasekolah

Davis et.al. (1983) membentuk garis panduan kurikulum bagi pemakanan kanak-kanak prasekolah. Aktiviti terdiri daripada bercerita, menyanyi dan memilih makanan. Sebanyak 16 buah prasekolah menggunakan lapan aktiviti seminggu selama enam minggu. Kanak-kanak ini menjalani ujian pra, program intervensi dan ujian pasca. Tiada kumpulan kawalan dibentuk. Dapatan menunjukkan terdapat peningkatan pengetahuan berkaitan pemakanan tetapi tidak ada perubahan pada amalan seperti merasa makanan.

Gorelick dan Clark (1985) juga sudah membentuk kurikulum pemakanan untuk kanak-kanak prasekolah. Kajian mereka melibatkan 187 kanak-kanak daripada 14 buah prasekolah. Kanak-kanak dalam kumpulan eksperimen menjalani ujian pra, program intervensi, iaitu aktiviti pemakanan dan ujian pasca. Manakala kanak-kanak kumpulan kawalan hanya menjalankan ujian pra dan ujian pasca tanpa program intervensi.

Sebanyak 12 aktiviti pendidikan pemakanan dijalankan dua kali seminggu selama enam minggu pada kumpulan eksperimen. Kanak-kanak yang terlibat dalam program intervensi mendapat skor pengetahuan yang tinggi dalam ujian pasca, terutama dalam mengenal dan memilih makanan. Pengkaji-pengkaji itu percaya, program ini berjaya kerana bahan yang disediakan sesuai dengan perkembangan kanak-kanak dan pengalaman pembelajaran berdasarkan aktivti merasa dan mencuba makanan yang dapat membantu penguasaan konsep pemakanan.

Hendricks (1989) pula menilai kurikulum pendidikan kesihatan pada pengetahuan kanak-kanak berumur 3-6 tahun. Sebanyak 9 buah prasekolah yang mempunyai 194 kanak-kanak terlibat dalam kumpulan eksperimen dan 3 buah prasekolah yang mempunyai 73 orang kanak-kanak terlibat dalam kumpulan kawalan. Ujian pasca dijalankan 7 bulan selepas melaksanakan ujian pra. Dapatan mereka menunjukkan kurikulum yang dijalankan mempunyai impak kepada pengetahuan kanak-kanak pada pemakanan tetapi tidak ada perubahan yang signifikan pada sikap iaitu perasaan dan emosi. 

Dalam Garis Panduan Kurikulum Prasekolah (Kementerian Pendidikan, 1993) dan Kurikulum Kebangsaan Prasekolah Edisi Percubaan (Kementerian Pendidikan, 2001) berkaitan dengan mengamalkan makanan dan pemakanan yang baik dan seimbang. Hasil Pembelajaran atau objektif yang perlu dicapai adalah supaya kanak-kanak dapat: 

  • menyatakan makanan yang baik dan berkhasiat
  • mengenalpasti makanan yang rosak dan basi
  • menyatakan menu makanan seimbang dan, 
  • menguruskan persediaan tempat sebelum dan selepas makan.
Aktiviti yang dicadangkan dalam Huraian Kurikulum Kebangsaan Prasekolah:
Edisi Percubaan (Kementerian Pendidikan, 2001) pula meliputi:

  • bercerita mengenai makanan yang digemari, 
  • mengumpul, memotong dan menampal makanan yang digemari dan berbual mengenainya,
  • melukis dan mewarnakan gambar bagi menghasilkan buku skrap dan bercerita mengenainya,
  • mengumpul, memotong dan menampal gambar yang digemari,
  • menunjukkan contoh makanan yang basi,
  • mengenalpasti tarikh luput makanan,
  • memotong dan menampal gambar dalam buku skrap bagi menghasilkan menu yang seimbang,
  • membentuk makanan daripada doh,
  • aktiviti memasak dan menyediakan makanan:
  1. mendengar dan melihat menu makanan,
  2. melihat dan mengenalpasti bahan yang hendak dimasak,
  3. menyukat dan menimbang,
  4. memasak makanan, dan
  5. bersoaljawab tentang aktiviti memasak.
  • menyediakan dan mengemas tempat makan, 
  • kanak-kanak menceritakan semula aktiviti memasak diselang-seli dengan soalan guru.
Program Amalan Pemakanan Berkhasiat yang dicadangkan untuk kanak-kanak prasekolah di Malaysia mengambil kira kedua-dua kurikulum (1993 dan 2001).