Wednesday 14 December 2011

Slot Rancangan Mengajar Prasekolah 2

RANCANGAN MENGAJAR PRASEKOLAH

Tema : Makanan
Subtema : Makanan berkhasiat
Cadangan masa: 30 minit
Tunjang Utama: Tunjang Komunikasi B. Malaysia

Standard Pembelajaran :
Kem. Mendengar : BM 1.2.2 Mengenal perkataan dengan bunyi sukukata awal yang berbeza.
Kem. Bertutur : BM 2.2.7 Bersoaljawab secara spontan.
Kem. Membaca : BM 3.5.8 Membatang sukukata terbuka dan tertutup untuk menjadi
perkataan.

Standarad pembelajaran yang disepadukan :
PFK 3.2.5 Menyatakan jenis makanan(protein,karbohidrat) yang sesuai mengikut waktu makan.
ST 10.1.3 Menyatakan waktu untuk menjalankan sesuatu aktiviti. ( waktu pagi ambil sarapan, tengahari untuk makan tengahari dan waktu malam untuk makan malam )


Objektif Pembelajaran:
Pada akhir pelajaran ini murid dapat:
1. Mencuba dan mempraktikkan sendiri cara – cara membuat sandwich di rumah
2. Mengeja dan membaca perkataan yang ditunjukkan.

Konsep Utama : Mengenal makanan berkhasiat dan mengetahui cara – cara membuat sandwic
Bahan dan peralatan : Roti, mentega, keju, timun, tomato, tuna, sos, pisau, apron, tempat pemotong

Langkah Pembelajaran :
1. Guru memperkenalkan tema dan memperkenalkan lagu kepada murid
2. Guru berbual dan bersoaljawab dengan murid tentang bahan – bahan yang digunakan untuk membuat sandwic
3. Guru meminta murid menyatakan jenis – jenis bahan yang terdapat di atas meja yang telah disediakan
4. Guru membimbing murid mengeja dan membatangkan sukukata nama makanan.
Cth : ro + ti = roti, ti + mun = timun, ke + ju = keju
5. Guru menayangkan semula perkataan yang telah dieja oleh murid.
6. Murid mengenal dan membaca perkataan yang mempunyai bunyi sukukata awal yang berbeza.
7. Guru menunjukkan cara – cara membuat sandwic dengan betul kepada murid
8. Guru dan murid sama – sama mengemas peralatan

Penilaian : Murid dapat mengenal tentang cara – cara membuat sandwic dan menyebut nama makanan berkhasiat


Bahan-bahan:

1. Roti bantal
2. Tuna
3. Mayonis
4. Planta
5. Keju
6. Timun
7. Tomato

Peralatan:
1. Papan pemotong
2. Pisau kecil
3. Sudu
4. Pinggan
5. Apron
















Wednesday 22 June 2011

Pelajaran 1













SIAPA KAMI....????

Kami merupakan warga pendidik yang cuba melakukan sedikit kelainan dalam mempelbagaikan cara penyampaian isi pelajaran yang kami akan sampaikan kepada murid-murid. Dinamakan sebagai langkah pertamaku atau my first step kerana isi kandungan blog ini lebih memfokuskan bahagian-bahagian awal dalam bidang ilmu yang perlu dicari oleh murid-murid sebagai contoh mengenal huruf, mengeja dan membaca suku kata mahupun perkataan-perkataan serta ayat-ayat ringkas.


Dengan memanfaatkan kemudahan teknologi yang ada, kami berusaha menyediakan bahan P&P secara atas talian untuk kegunaan para guru dan ibu bapa. Selain bertujuan untuk memudahkan proses P&P berjalan, blog ini juga diharapkan mampu menarik minat murid untuk belajar.


Nama Ahli Kumpulan
1. Ainul Amla binti Mohammad     (PPG/30876/11)
2. Hasnah binti Sharif Chua           (PPG/30896/11)
3. Madiana binti Yamin                   (PPG/30850/11)
4. Norazizah binti Heepni               (PPG/30843/11)
5. Sh. Rogayah binti Wan Sulong (PPG/30892/11)
6. Suparte binti Supaat                  (PPG/31101/11)
   

Tuesday 21 June 2011

Diet Seimbang Sejak Kecil

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@nstp.com.my
2011/06/14

Bekalkan anak khasiat mencukupi untuk tumbesaran sihat 

MEMUPUK tabiat makan yang sihat menerusi diet seimbang sejak dari kecil adalah penting bagi kanak-kanak membina asas yang sihat. Ini berikutan, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan lebih kurang 15 peratus kanak-kanak Malaysia mengalami kekurangan zat makanan.
Agak membimbangkan apabila masalah ini paling tinggi dilaporkan di kalangan kanak-kanak satu hingga enam tahun. Risiko kekurangan zat makanan ketika tahun awal bayi dan kanak-kanak, antaranya boleh merencatkan tumbesaran, malah menyebabkan kerosakan mental serta fizikal yang serius.


Pemakanan tidak sempurna di kalangan bayi dan kanak-kanak didapati adalah punca kepada satu pertiga kes kekurangan zat makanan. Kajian mendapati, seorang daripada tiga orang di negara membangun terjejas kesihatannya kerana kekurangan vitamin dan mineral. Keadaan itu mendedahkan mereka pada risiko jangkitan, kecacatan fizikal dan perkembangan intelektual. 

Pakar Pemakanan Kanan, Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd, Ng Pui Kunn, berkata mengatasi pemakanan tidak sempurna, piramid makanan boleh dijadikan panduan asas bagi memastikan anak mendapat zat makanan yang lengkap. 

Pui Kunn berkata, tiga asas penting bagi mengelakkan kekurangan zat makanan untuk anak, termasuklah keseimbangan, pengubahsuaian dan kepelbagaian. Keseimbangan bermakna, memastikan anak mengambil lima kumpulan makanan utama seperti yang terdapat dalam piramid makanan. 

“Pengubahsuaian pula ialah jumlah yang diambil bagi setiap kumpulan makanan itu manakala kepelbagaian ialah memastikan adanya gabungan makanan yang diambil bagi setiap jenis kumpulan itu. Apabila semua itu ada, anak tidak mungkin mengalami kekurangan zat makanan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran susu formula baru, Dugro Komplete Nutri yang diperkenalkan Danone Dumex, di ibu negara, baru-baru ini. 
Dugro Komplete Nutri mengandungi formula susu dipertingkat yang mengandungi lcFOS (serat diet frukto-oligosakarida rantaian panjang) dan berperanan membantu mengekalkan persekitaran usus yang baik. 

Susu formula baru itu juga mengandungi DHA, AA, SA dan Taurina yang menjadi komponen penting dalam otak serta nutrien penting lain seperti kalsium, zat besi, zink dan vitamin yang menggalakkan tumbesaran dan perkembangan menyeluruh. 

Pui Kunn berkata, oleh kerana peringkat tumbesaran kanak-kanak dari usia satu tahun hingga enam tahun amat penting, ibu bapa harus berusaha memberikan makanan yang pelbagai dan seimbang supaya anak dapat membesar, di samping kekal sihat. 

Begitu juga pemberian makanan yang sesuai dan jumlah yang secukupnya adalah penting buat kanak-kanak yang sedang membesar. Katanya, cara ini akan memastikan mereka mendapat pemakanan optimum dan mengelakkan pemakanan berlebihan atau kekurangan yang boleh memudaratkan kesihatan mereka. 

“Tiada satu makanan yang dapat memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak kerana badan mereka memerlukan pelbagai zat. Mereka memerlukan makanan yang pelbagai kerana jenis dan jumlah zat berbeza dalam satu jenis makanan dengan yang lain. 

“Semakin anak membesar, keperluan pemakanannya akan berubah dan jenis serta zat makanannya perlu ditambah. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan mereka makan mengikut masa dan dengan sukatan yang betul,” jelasnya lagi. 

Pui Kunn berkata, cabaran seterusnya untuk memastikan anak tidak kekurangan zat makanan ialah menterjemahkan apa yang terkandung dalam piramid makanan ke dalam jadual makanan harian mereka. Makanan anak perlu seimbang, yang terdiri daripada karbohidrat untuk tenaga, buah-buahan dan sayur-sayuran untuk serat, makanan kaya dengan protein serta susu dan produk tenusu. 

Katanya, kanak-kanak aktif atau menggunakan banyak tenaga fizikal, digalakkan mengambil lebih karbohidrat. Namun, pastikan sumber karbohidrat diambil adalah jenis sederhana supaya kadar pengambilannya tidak berlebihan, sebaliknya cukup bagi mengganti atau membekalkan tenaga yang banyak hilang disebabkan kanak-kanak berkenaan terlalu aktif. 

Mengenai pengambilan susu yang dikatakan baik untuk kanak-kanak sebagai tambahan khasiat makanan dan sumber kalsium di samping mengandungi nutrisi penting lain seperti vitamin, zink dan asid folik, Pui Kunn berkata, waktu paling sesuai meminum susu ialah pada sebelah pagi. 

Katanya, pengambilan susu pada waktu pagi iaitu ketika sarapan sememangnya baik kerana ia sebagai langkah untuk memula dan meneruskan hari yang sihat, segar serta bertenaga sepanjang hari. 

Bagi gelas kedua, susu mungkin boleh diambil waktu petang iaitu selepas makan tengah hari dan minum petang manakala pengambilan seterusnya sebaik-baiknya ialah sebelum tidur. 

Apa yang penting, tegas Pui Kunn ibu bapa perlu membeli susu formula mengikut kesesuaian usia anak dan kepentingan zat diperlukan berdasarkan usia kanak-kanak berkenaan. 

“Dalam satu keluarga, terdapat anak berbeza usia tetapi kerana ingin mudah atau menjimatkan belanja, mungkin ada ibu bapa membeli susu untuk satu peringkat usia saja serta berkongsi untuk anak yang mungkin sudah lebih usia dan tidak sesuai dengannya. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dibimbangi kesannya pada kesihatan mungkin hanya boleh dilihat untuk jangka masa panjang,” katanya. 

INFO 

  • Terlalu sedikit atau terlalu berlebihan zat boleh menimbulkan masalah kesihatan. Pendekatan yang mudah dan sihat adalah mengajar anak makan secara sederhana sejak kecil lagi. 

  • Apabila keperluan pemakanannya meningkat, jumlah makanan yang diambilnya juga akan bertambah. Oleh itu, adalah penting bagi anak mempelajari amalan pemakanan sihat seperti makan mengikut waktu, tidak melangkau waktu makan dan tidak makan berlebihan. 

  • Bagi menjamin anak mencapai potensi dengan sepenuhnya, adalah penting bagi ibu bapa memberikan makanan yang sesuai dengan jumlah yang betul di samping menggalakkan mereka bergiat dalam aktiviti fizikal. 

  • Antara yang diperlukan anak bagi zat pemakanan sihat ialah zat besi, zink, kalsium, iodin dan vitamin A. 

  • Kekurangan zat makanan membunuh hampir enam juta kanak-kanak setahun terutama di negara membangun meskipun ada pelbagai cara dilakukan bagi membaiki tahap makanan berkhasiat di seluruh dunia. 

  • Kekurangan zat besi menyebabkan kurang darah dan memberi kesan terhadap perkembangan mental atau perkembangan saraf motor dan perubahan tingkah laku. Kekurangannya juga boleh membuatkan anak tidak dapat memberi tumpuan, pucat dan lesu. 

  • Gangguan otak, pertumbuhan terencat, disleksia serta daya tahan penyakit terjejas berpunca daripada kekurangan zink. Tanda anak kekurangan zink dapat dilihat apabila mereka tiada selera, hilang deria rasa dan susah sembuh. 

  • Jika anak sering mengadu sakit otot, sakit badan dan kekejangan otot atau ibu bapa melihat kuku mereka rapuh, kulit kering dan bersisik, bermakna mereka kekurangan kalsium. Ia boleh mengakibatkan tulang rapuh, tinggi risiko patah tulang, penyakit riket dan osteoporosis apabila umur meningkat. 

  • Iodin juga penting untuk tumbesaran kanak-kanak. Kekurangannya boleh mengakibatkan kerosakan otak, hipotiroid, pertumbuhan kognitif dan perkembangan saraf motor terjejas. Tanda seperti bengkak di leher dan mata terbonjol mungkin menunjukkan anak kekurangan sumber zat ini. 

  • Vitamin A penting untuk kesihatan mata anak. Kekurangannya boleh mengakibatkan penglihatan terjejas teruk, buta dan meningkatkan risiko diserang penyakit teruk. 
  • Monday 20 June 2011

    Diet Seimbang Perlu Diamal Sejak Kanak-Kanak

    APABILA disebut mengenai makanan, apa yang terlintas di fikiran kita ialah rakyat Malaysia tidak mengalami masalah kebuluran. Namun, jika terlebih makan, ia sebenarnya mengundang bahaya dan boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada pelbagai masalah termasuk kegemukan.

    Apabila berat badan terus bertambah dan mengalami masalah kegemukan, seseorang itu bakal terdedah kepada sakit jantung, kencing manis, paras kolesterol yang tinggi dan masalah perut buncit.

    Justeru, kita digalakkan memahami diet seimbang kerana ini penting untuk menjamin kesihatan yang baik sepanjang hayat.

    Pakar diet sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, Farah Diba Khan, berkata penyediaan makanan yang betul dan mendidik tabiat makan yang sempurna bermula sejak kecil lagi dan ibu bapa bertanggungjawab ke arah pembentukan itu.

    Beliau berkata, piramid diet sihat adalah panduan membantu ibu bapa memilih makanan yang hendak dimakan setiap hari kerana ia merangkumi empat kumpulan makanan dan tip piramid.

    Katanya, makanan diambil setiap hari perlu dimakan dengan banyak daripada tapak piramid dan sedikit daripada tip piramid.

    Beliau berkata, setiap kumpulan makanan memberikan sumbangan nutrien atau zat yang penting dan setiap nutrien mempunyai fungsi tertentu dalam badan.

    “Makanan daripada semua kumpulan makanan bekerjasama membekalkan nutrien untuk kesihatan dan pertumbuhan. Tiada satu kumpulan makanan yang lebih penting daripada yang lain untuk kesihatan kerana kita memerlukannya,” katanya.

    Makanan yang menyediakan nutrien diperlukan kanak-kanak untuk membina tubuh yang kuat turut membekalkan tenaga diperlukan untuk membesar secara normal.

    Justeru, tidak ada satu makanan pun yang membekalkan semua nutrien diperlukan oleh kanak-kanak untuk pembesaran fizikal dan mental secara optimum.

    Setiap makanan boleh dipadankan ke dalam diet yang pelbagai, sederhana, seimbang dan sihat. Sehubungan itu, tidak ada makanan baik atau tidak baik, khususnya bagi kanak-kanak kerana keseluruhan diet bagi sesuatu hari perlu diambil kira.

    Justeru, berikan pelbagai makanan daripada setiap kumpulan makanan berkenaan pada setiap hari bagi membekalkan nutrien diperlukan oleh anak anda.

    Panduan makanan sihat dan kegiatan fizikal bagi kanak-kanak.
    • Galakkan anak anda supaya lebih aktif dan bergiat dalam sukan.
    • Berikan pelbagai jenis makanan berkhasiat setiap hari.
    • Galakkan mereka menyertai kegiatan fizikal.
    • Berikan makanan sesuai mengikut usia anak anda.
    • Elakkan makan berlebihan.
    • Jangan berikan makanan sebagai sogokan atau ganjaran.
    • Didik mereka supaya mengambil snek dengan betul.
    Beberapa perkara perlu diambil kira termasuk menjadikan amalan mengambil satu hidangan sayuran-sayuran atau buah-buahan, makan seluruh buah, termasuk kulitnya sekali dan masak buah-buahan dan sayur-sayuran terlalu lama.

    Pilihan terbaik bagi diet sihat.

    • Daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit dan produk susu rendah lemak.
    • Kurangkan pengambilan daging barbeku dan diawet.
    • Selang-selikan makanan daging dengan produk kacang
    Selain itu, Farah Diba berkata, apabila usia seseorang meningkat tua, mereka selalunya menjadi kurang selera untuk makan, apatah lagi untuk mengambil makanan berkhasiat dan mengamalkan diet seimbang setiap hari.

    Beliau berkata, makanan berkhasiat sebenarnya amat penting dalam kehidupan warga tua dan mereka tidak seharusnya memandang ringan perkara seumpama itu.

    Katanya, tekanan perasaan, kemurungan dan keseorangan sering menjadi faktor menyebabkan warga tua kurang selera makan biarpun suatu ketika dulu mereka berkemungkinan berselera menikmati makanan.

    “Makanan berkhasiat dan diet seimbang diperlukan oleh setiap individu sejak lahir sehingga dimamah usia. Kepentingan untuk mengambil makanan berkhasiat tidak boleh dipandang mudah oleh warga tua, malah mereka perlu lebih bijak mengamalkan diet seimbang,” katanya.

    Beliau berkata, apabila seseorang semakin berusia, mereka akan mengalami kekurangan sesetengah mineral atau garam galian seperti sodium dan kalsium di dalam tubuh.

    Justeru, katanya, mengamalkan diet seimbang dan makanan berzat pada setiap hari dapat memelihara kesihatan warga tua.

    Beliau berkata, pengambilan makanan berasas protein, karbohidrat, serat, kalsium dan minum lebih banyak cecair dapat membantu warga tua memiliki tubuh yang sihat dan bertenaga.

    Protein:

    Pengambilan makanan berasas protein amat penting untuk keperluan tubuh warga tua kerana ia membaik pulih tisu badan dan meningkatkan antibodi melawan jangkitan atau penyakit.

    Antara makanan berasas protein ialah daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit atau lemak, ikan, telur dan kekacang.

    Karbohidrat:

    Karbohidrat adalah sumber utama memberi tenaga kepada tubuh manusia dan ia seharusnya diambil setiap hari. Antara makanan berasas karbohidrat yang disyorkan kepada warga tua ialah nasi, mi, buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, keledek, ubi kentang dan pisang.

    Vitamin dan mineral:

    Mengekalkan kesihatan tubuh dalam jangka panjang dan memastikan badan dapat berfungsi dengan baik. Sebaik-baiknya warga tua mengambil makanan yang mengandungi vitamin A untuk memelihara kesihatan mata.

    Antara sumber makanan yang mengandungi vitamin A ialah buah oren, lobak merah dan pelbagai sayur-sayuran hijau. Selain itu, pengambilan zink yang boleh diperoleh daripada daging merah tanpa lemak mampu membantu proses penyembuhan.

    Serat:

    Membantu mengelakkan sembelit dan sekali gus mengurangkan risiko lebihan kolesterol di dalam darah. Ia wajar diambil setiap hari kerana mudah diperoleh.

    Pastikan anda mengambil lebih banyak buah-buahan segar, sayur-sayuran hijau dan bijirin dalam menu harian.

    Kalsium:

    Pengambilan kalsium amat penting untuk membantu mengatasi masalah kereputan tulang atau osteoporosis. Sumber makanan kaya kalsium ialah produk tenusu, ikan sardin, ikan bilis (sebaik-baiknya dibuang kepala kerana ia kaya dengan kolesterol), kurma, kismis dan susu skim atau rendah lemak.

    Cecair:

    Sebaik-baiknya minum enam hingga lapan gelas air sehari untuk membantu buah pinggang menyingkirkan lebihan toksik di dalam badan.

    Warga tua hendaklah mengelakkan mengambil makanan berikut:
    • Makanan bergula. Sebaik-baiknya had atau kurangkan pengambilan makanan dan minuman mengandungi kadar gula yang tinggi.
    • Kurangkan mengambil kek dan biskut yang manis.
    • Pilih buah-buahan segar sebagai pencuci mulut.
    • Elakkan menambah garam di dalam hidangan anda dan sebaik-baiknya cuba ambil rempah ratus atau herba.
    • Kurangkan mengambil makanan diawet, di dalam tin atau makanan segera.
    Warga tua juga perlu mengelakkan makanan kaya lemak dan kolesterol tinggi. Sebaik-baiknya, pilih makanan seperti daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit atau lemak, ambil makanan rendah lemak dan elak makanan berasas santan.

    Warga tua dinasihatkan mengamalkan senaman ringan dengan berjalan pantas pada setiap hari, tapi elakkan melakukannya pada jam 11 pagi dan 4 petang.

    Perkataan tiada masa sering dijadikan alasan tetapi cuba bahagikan masa anda dengan bijaksana untuk mengamalkan kegiatan sihat itu.

    Sumber Dari : Berita Harian Online

    by www.bharian.com.my